Thursday, February 25, 2010

iktibar maulid rasul kali ini!


“hey, minggu depan dah 12 rabi’ul awal la.. kau sedar tak?” abu menyapa ali, kawan sebiliknya.

“Alamak! Ya ke?! Aku tak plan apa-apa lagi la. Nak sambut macam mana entah sambutan maulid tahun ni!” sahut ali, termenung.

SAMBUTAN MAULID NABI

Sambutan kelahiran Nabi Muhammad SAW bukan sekadar sambutan, yang jauh daripada penghayatan perjuangan dan menjelmakan perwatakan Nabi Muhammad SAW dalam diri. Namun begitu, sudah menjadi adat kebiasaan masyarakat kita beria-ria menyambut hari kelahiran junjungan kita ini,begitu juga hari-hari kebesaran Islam yang lain.

Oleh itu, menjadi satu kesalahan yang sangat besar pada pendakwah sekiranya tidak mempersiapkan aktiviti-aktiviti yang betul-betul menarik, yang dapat menyedarkan manusia dan mengisi jiwa mereka.

PENGHAYATAN SEBENAR

Jujurnya, Nabi Muhammad seorang tokoh politik dalam pemerintahannya dalam perjuangannya. Namun, baginda tidak meninggalkan aspek pentarbiyahan rohaninya. Ini adalah satu tempelak kepada pejuang-pejuang Islam yang berbangga dengan gelaran pejuang, namun kurang mengambil berat dengan aspek pembangunan rohani dalam perjuangan mereka.

Nabi Muhammad seorang tokoh suami dan anak yang terbilang, disamping perjuangan dakwahnya. Bacalah bagaimana romantiknya Nabi Muhammad dengan para isteri baginda dan layanan baginda kepada anak-anak. Jadi, adalah satu benda yang jelek jika para pejuang/pendakwah yang terlupa melayan isteri dan anak-anak mereka dengan sebaiknya lantaran terlalu sibuk dengan urusan perjuangan mereka. Walhal, anak isteri adalah tanggungjawab mereka untuk selamat daripada api neraka, bukan anak orang lain!

Nabi Muhammad seorang yang hebat dalam strategi peperangan dan mengatur kehidupan dunia, tanpa melupakan aturan kehidupan akhiratnya. Oleh itu, macam mana seorang yang menganggap dirinya adalah seorang sufi, tapi meninggalkan urusan keduniaannya dan perjuangan untuk meletakkan Islam kembali ke tempatnya?! Terlalai dengan amalan sunat sehingga melupakan amalan wajib yang lebih penting! Menyangka sufi dengan banyaknya amalan. Walhal, hebatnya saidina Abu Bakar bukan kerana banyaknya amalannya, tapi kerana ‘banyaknya’ Allah dalam hatinya.

Nabi Muhammad banyak menceritakan kaedah untuk mencapai kejayaan dalam dunianya, tanpa melupakan kejayaan akhirat. Bertanam bersungguh-sungguh di dunia untuk menunaikan hasilnya di Akhirat. Tidak pernah mengajar umatnya untuk meninggalkan kejayaan dalam mencapai kecemerlangan dunia, lantaran terlalu sibuk dengan urusan akhirat. Terlupa konsep ibadah umum dan ibadah khusus. Terlupa konsep fardhu kifayah yang dapat memajukan kehidupan dunia. Terkubur sudah konsep khalifah, sebagai pengatur dan pemakmur kepada bumi!!

Nabi Muhammad seorang yang sangat pengasih dan menyayangi. Berlembut dan berkerasnya bertempat. Kenapa terdapat golongan yang menganggap dirinya seorang pejuang, terlalu berkeras dan melampau dalam perkara cabang?! Bergaduh dalam perkara wasilah. Tidak dapat membezakan perkara usul dan furu’. Tidak pandai membezakan matlamat dan wasilah. Tidak pandai menyusun keutamaan. Ta’asub pada golongan atau individu tertentu. Berpecah dan bergaduh sesama sendiri, sehingga musuh bertepuk tangan. Mundur dalam perkara duniawi.

AYUH! KITA ‘TENGOK’ KE BELAKANG SEKEJAP

Pada maulidur rasul ini, saya menyeru semua rakan-rakan, kita tengok ke belakang sekejap. Apa kesan tidakan kita sebelum ini?! Menguntungkan Islam atau merugikan islam? Kalau tindakan kita itu merugikan Islam, masih ada masa untuk berubah walaupun perit. Kalau sebaliknya, teruskan langkahmu itu, terus maju ke hadapan. Pimpinlah rakan-rakanmu yang masih terkapai-kapai mencai sebuah kebenaran itu.

Ayuh, jadikanlah Rasulullah SAW itu contoh terbaik kita!

Salam maulidur rasul 1431 H.

No comments: