Thursday, February 4, 2010

Hati, Akal dan Nafsu

Manusia bukan robot. Manusia ada akal, hati dan nafsu. Ketiga-tiga elemen dalaman ini, PENJANA kepada gerakan anggota badan luaran yang lain. Ringkasnya, aktif atau longlai manusia adalah kerana aktif atau longlai akal, hati dan nafsu.



HUBUNGAN AKAL, HATI DAN NAFSU


Akal mencetuskan 'tahu', hati mencetuskan 'yakin' dan 'mahu', nafsu pula menentukan 'mampu'. Ilmu dapat me'muas'kan akal, iman dapat me'muas'kan hati dan menjerat nafsu. Muallim(guru) mengajar untuk memberitahu, murabbi(pendidik) mendidik untuk mencetuskan mahu dan memimpin kebuasan nafsu.

Hati adalah raja anggota badan. Akal adalah bendahara kepada hati. Nafsu pula pengacau yang boleh memburukkan akal dan hati. Ringkasnya, hati menentukan tindakan, akal memandu hati untuk bertindak membuat kerja dengan 'betul-betul'. Nafsu pula perosak kepada 'perancangan' hati dan akal!

Disamping faktor dalaman tersebut, faktor luaran juga mempengaruhi 'penghijrahan' seseorang, untuk keluar daripada zon selesa kepada zon derita, buat sementara! Namun hakikatnya, kita hanya mampu mengubah faktor dalaman, cuma 'dia' dalam kawalan kita.

DILEMA MELAYU DAN KUNCI PENYELESAIAN

Melayu lemah dari segi rohani(kemajuan akhirat) dan material (kemajuan dunia). Islam adalah penjana kemajuan akhirat dan kemajuan dunia. Formula nya mudah, jiwailah konsep hamba sebagai penjana insan BERINTEGRITI dan jiwailah konsep khalifah sebagai penjana insan berKOMPETENSI. Ibadah fardhu ain pembentuk insan bersikap mulia dan ibadah fardhu kifayah pembentuk insan pembangun dunia.

Mudahnya, orang baik tapi bodoh akan ditipu, orang bijak tapi jahat akan menipu. Jadi, kita mesti menjadi orang baik(ITEGRITI) dan bijak(KOMPETENSI). Bijak dan penipu adalah pembinasa, baik dan bijak adalah pembina!

Orang berjiwa hamba banyak berZIKIR. Orang yang berjiwa khalifah banyak berFIKIR. Zikir punca integriti dan fikir punca kompetensi.

Zikir dan fikir inilah sifat orang MUTTAQIN(bertaqwa), bukan mu'min semata-mata. Mereka sentiasa memperelok hubungan dengan Allah(taqwa), hubungan dengan manusia(akhlaq) dan memilik kekuatan terulung dalam semua bidang kehidupan(itqan) . Mereka 'betul-betul' bertanam di dunia untuk menuai hasilnya di Akhirat! IMAN adalah prinsip hidup dan ISLAM adalah peraturan hidup. Mereka taat kepada syariat Allah dan tidak ingkar kepada sunnatullah.

Kelihatan Melayu mempunyai ramai Muallim, tapi Melayu kekurangan Murabbi. Pengajaran sudah dilaksanakan, tetapi kesannya macam tidak kelihatan!

Lantarannya, kurangnya sentuhan RASA DIDIKAN kepada hati.

Sedangkan metod Nabi Muhammad adalah pengajar kepada akal, pendidik kepada hati dan pemimpin kepada nafsu!


KEFAHAMAN ISLAM

Islam agama yang sangat hebat. Islam itu adalah kecemerlangan. Islam penyelesai kepada masalah umat. Islam itu adalah penjana kemajuan dan kecemerlangan umat. Lihatlah Arab Jahiliah, daripada bangsa paling hina menjadi bangsa paling mulia, dengan sebab Islam. Lihatlah bangsa Turki, mampu menawan Kostintinopel dengan sebab Islam. Lihatlah bangsa Melayu Melaka, namanya gah hingga ke China dengan sebab Islam.

Tapi, itu umat Islam dulu...

Kenapa umat Islam sekarang dah tak macam umat Islam dulu?
Adakah Islam sekarang bukan Islam dulu? Atau....
Adakah kefahaman Islam kita bukan kefahaman Islam yang Nabi Muhammad maksudkan? Atau....
Adakah kita lemah atau musuh yang kuat?

Ya, teorinya Islam memang hebat! Sangat sempurna!
Tapi, praktikalnya sekarang, UMAT Islam 'seolah-olah' kelihatan lemah dan penjana kemunduran!!?


LANGKAH PERTAMA

Akal diisi dengan ilmu untuk mencetus tahu. Hati diisi dengan iman untuk mencetus mahu dan yakin. Nafsu dipimpin dan dijerat untuk mengizinkan mampu. Jika difikir lebih mendalam, kekuatan 'mahu' sahaja sudah cukup untuk mendapatkan tahu dan membentuk mampu. Soal kemahuan itu yang paling penting!

Skala akal, hati dan nafsu kini mesti diubah kearah mencapai TAQWA. Ilmu, keyakinan dan latihan mesti dibuat BERTERUSAN.

Seterusnya,
Hanya yang 'ahli' adalah pengajar,pendidik,pemimpi dan pelatih terbaik. Islam datang daripada Nabi Muhammad. Ulama' pula adalah pewaris baginda. Kefahaman Islam yang tepat mesti datang daripada mereka.

Alangkah indahnya jika kita semua dapat kenal para ulama' dan mendengar sendiri kalam-kalam daripada mulut mereka. Mahasiswa yang belajar di Timur Tengah boleh merujuk golongan azhari atau mana-mana agamawan untuk mendapatkan nama-nama ulama dan mendengar ceramah mereka di youtube atau mana-mana laman web yang menayangkan ceramah mereka. Kemampuan bahasa Arab boleh diatasi dengan memilih ceramah-ceramah yang sudah siap terjemahannya atau cuba menguasai bahasa Arab dengan membiasakan telinga mendengar ceramah Arab berulang-ulang kali secara berterusan.

Cabarannya cuma satu.

Sejauhmanakah kesungguhan kita dalam mendapatkan kefahaman dan pengamalan Islam yang TEPAT?

------------------------------------------------------------------------------------------------
u/p: Saya tidak menafikan peranan ulama' Melayu dalam memberi kefahaman Islam yang tepat. Pada saya, dua sumber utama Islam dalam bahasa Arab(Quran dan Hadis). Jadi, apa salahnya jika kita terus mendapatkan kefahaman Islam melalui 2 sumber utama itu dengan dibantu oleh manhaj-manhaj ulama' sebagai pemandu pemahaman kita..Kebetulan pula, ramai ulama'-ulama' mu'tabar bercakap, mengajar dan menulis dalam bahasa Arab!

Kebanyakan hasil tulisan ini diolah dari buku Dilema Melayu Islam:Kurang Zikir atau Kurang Zikir oleh En Pahrol Mohamad Juoi.

No comments: